Monday 15 April 2013

#25 : Tau

dan kau tanya dalam diam,
dengan mata kau biar pejam ;
bagaimana mungkin wujud sunyi
di riuh engkau berdiri?

satu-persatu hilang ertinya,
berdikit-dikit menyesak dada,
mahu kau lari dan bersembunyi,
tapi mana kau harus pergi?

haus--
tak terpuas lautan,
lapar tak terkenyangkan ;
kau tau--
namun tak kau akukan.

kau selongkar bumi langit petala,
sedang jawabnya lama kau ada.
maka perlu apa kau bongkargali,
kalau cuma diletak tepi?

sayu--
tak terjelas fikiran,
rebah tak tersambutkan ;
kau tau--
namun tak kau akukan.

apa kau cari yang sebetul-betulnya?
lama mana begini
--bertelanjang jiwanya?

haus--
tak terpuas lautan,
lapar tak terkenyangkan ;

kau tau.

sayu--
tak terjelas fikiran,
rebah tak tersambutkan ;

kau tau.

kau tau.
kau sayu.
kau rindu ;

--sama Tuhan.

- Fynn Jamal, Puisi Tepi Jalan

0 comments:

Post a Comment